Isteri Sukar Hamil – Penyelesaian Dari Pakar Sakit Puan

Isteri sukar hamil adalah antara masalah yang sering melanda pasangan suami isteri. Siapa yang tak ingin menimang cahaya mata – yang sudah pasti akan membuat hidup bekeluarga lebih ceria dan bahagia. Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah ini, dan bagaimana untuk mengubatinya.

Isteri sukar hamil

SOALAN

Saya  sudah berumah tangga selama hampir 10 tahun dan belum dikurniakan cahaya mata. Saya dan suami pernah diberi ubat kesuburan tetapi hingga kini belum berhasil.

Baru-baru ini saya bertemu dengan seseorang yang terbabit dalam industri jualan langsung dan dimaklumkan perut saya bukan kembang tetapi ia membengkak lalu saya sukar hamil.

Ini mungkin disebabkan saya pernah jatuh atau mengangkat benda berat yang menyebabkan masalah bengkak itu. Haid saya normal cuma ada ketikanya, saya mengalami senggugut. Kadangkala selepas bersama suami, perut saya berasa sakit.

Apakah yang harus saya lakukan?

Masalah sukar hamil adalah antara masalah yang sering melanda isteri - apakah puncanya & bagaimana nak rawat masalah ini Click To Tweet

JAWAPAN

Masalah isteri sukar hamil bukanlah masalah yang baru.

ELOKLAH anda bersama suami berjumpa pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut memandangkan usia perkahwinan yang lama. Ubat kesuburan hanyalah merangsang pembesaran telur di dalam ovari puan, keberkesanan ubat terbabit juga tidak sama untuk setiap wanita.

Pengambilan ubat kesuburan seeloknya dipantau kesannya menggunakan ultrabunyi, jenis dan dos ubat terbabit ditentukan atau diubahsuai mengikut kesannya ke atas ovari serta lapisan endometrium rahim.

Masalah kesuburan pula boleh berpunca daripada bahagian lain, bukannya disebabkan telur yang tidak membesar saja. Contohnya, bilangan dan peratusan sperma suami yang mencukupi perlu untuk membuahkan kehamilan tanpa bantuan teknik tertentu.

Jika tidak mencukupi, teknik permanian berhadas (lebih dikenali sebagai IUI) dapat mengatasi kekurangan ini. Jika bilangan dan peratusan sperma berkualiti terlalu rendah pula, teknik permanian berhadas pun masih kurang sesuai dan elok dirawat secara persenyawaan tabung uji (lebih dikenali sebagai ICSI).

Ada juga keadaan di mana air mani hanya mengandungi cecair saja dan tidak mengandungi sebarang sperma, keadaan ini dinamakan azoospermia dan memerlukan penyiasatan lanjut.

Bagi wanita pula, selain ovari yang masih berfungsi menghasilkan telur, organ lain sistem peranakan juga penting. Tiub falopio mestilah tidak tersumbat. Memandangkan anda juga mempunyai masalah senggugut, kaedah penyiasatan tiub falopio secara pembedahan laparoskopi lebih sesuai daripada kaedah secara sinaran-x kerana anda mungkin mempunyai penyakit lain yang berkaitan.

Ia sejenis pembedahan kecil menggunakan kamera berteleskop yang dimasukkan melalui potongan kecil sebesar satu sentimeter di dalam pusat. Satu, dua atau tiga lagi lubang kecil bersaiz setengah sentimeter pula dibuat di bahagian ari-ari mengikut keperluan.

Melalui kamera ini, keadaan dalam ruang pelvis anda yang menampakkan permukaan luar rahim, permukaan luar kedua tiub falopio kanan dan kiri, ovari kanan dan kiri, permukaan dinding rahim, struktur penyokong serta keadaan ruang abdomen sehingga ke bahagian atas menampakkan permukaan luar dan bawah hati dapat dibuat penilaian secara langsung.

Sejenis cecair berwarna kemudiannya akan dimasukkan melalui pintu rahim dari arah faraj dan laluannya akan dilihat keluar melalui bukaan tiub falopio kanan dan kiri ini.

Kaedah rawatan kesuburan lebih bergantung kepada usia wanita dan punca masalah kesuburan dengan turut mengambil kira usia perkahwinan dan kesesuaian atau kemampuan pasangan itu sendiri daripada segi kewangan.

Ini kerana kos rawatan jauh berbeza mengikut jenisnya. Sudah tentu peratusan kejayaan juga berbeza mengikut jenisnya. Usahlah menunggu lebih lama dan dapatkan rawatan pakar. Harus diingat, dengan pertambahan usia wanita, ubat kesuburan juga lazimnya lebih mahal (jenis dan dosnya lebih tinggi) namun peratus kejayaan sebaliknya semakin menurun.

Pandangan atau telahan mengenai rahim atau perut membengkak adalah istilah kabur. Saiz rahim membesar lazimnya akibat penyakit fibroid atau adenomyosis. Pemeriksaan doktor dapat mengesan keadaan ini, malah dapat mengukur saiz rahim anda.

KONGSI
Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on stumbleupon
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on print

WAJIB BACA

2 thoughts on “Isteri Sukar Hamil – Penyelesaian Dari Pakar Sakit Puan”

  1. Assalamualaikum..
    Saya sudah berkahwin 1 tahun lebih, masih tidak dikurniakan cahaya mata. saya berkahwin seiring dengan kakak ipar saya dia sudah mengandung dan tidak lama lagi akan melahirkan anak. saya jadi bahan kutukan saudara mara kerana tidak dapat anak ada yang kata saya mandul. saya rasa saya saya tidak mandul tapi saya tidak tahu mcm mana nak pastikannya..
    saya dan suami kurang bemesra dalam sebulan adalah dalam 3 kali kami bemesra. saya rasa dia mempunyai kurang keinginan untuk bemesra dengan saya. saya mudah sakit pada perut selepas bemesra dengan suami. saya telah minum ubat yang di beri oleh suami saya katanya kawannya belikan untuk kesuburan. disamping itu saya telah membuat checkup di hospital besar melaka dan mereka telah mengambil sample cecair pada kemaluan saya dan telah dapat keputusannya mengandungi kuman. saya diberi ubat bewarna hijau dan putih. selepas makan ubat itu saya telah tidak keluar haid selama 2 bulan. dan tidak disahkan mengandung setelah saya pergi ke clinic untuk check. perlukah saya makan sahaja ubat yang hospital beri dan saya tidak tahu akibatnya. saya takut jika selalu makan ubat hospital beri bakal menghidapi cancer pula. apa yang patut saya buat. macsm mana saya nak tahu saya sakit apa. tolon lah saya untuk beri saya jalan dan peluang yang cepat untuk mengandung.

  2. @Puan Mia,

    Pertama sekali apa yang anda perlu Puan lakukan ialah berjumpa dengan Pakar Sakit Puan (obstetrician). Saya cadangkan jangan pergi ke hospital kerajaan. Doktor-doktor hospital kerajaan ni sibuk, kalau nak jumpa pakar kena buat appointment dan mengambil masa yang agak lama.

    Cuba cari hospital swasta yang berkredibiliti dan jumpa Pakar Sakit Puan di sana. Cerita juga pada pakar tersebut tentang masalah sakit perut Puan selepas bersama suami. Jangan makan ubat-ubat yang tidak dapat dikenalpasti sumber dan kandungannya.

    Apa pun, pemberian anak ini kuasa Allah, tapi bagus Puan berusaha, jangan lupa berdoa dan meminta kepadaNya, InsyaAllah dimakbulkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *